Isnin, 23 Disember 2024

 

CORETAN MENGENAI KEBENARAN

Jika kita mempelajari falsafah, kita akan dapati bahawa naluri manusia adalah ingin mencari kebenaran atau hakikat. Namun, bergantung kepada 'pandangan alam' yang mendasari kepada cara fikir manusia itu, ia akan membentuk konseptualisasi kepada 'kebenaran' yang akhirnya menjadi insan itu tetap, dan sejahtera. Walaubagaimanapun, di sini penulis tidak berhajat untuk berfalsafah, hanya sekadar pandangan peribadi mengenai bentuk-bentuk atau ciri-ciri kebenaran yang dihadapi sepanjang kehidupan ini.

Pertama adalah, KEBENARAN itu dilihat sebagai suatu yang TETAP dan menjadi satu matlamat. Sewaktu kita membesar, masuk sekolah dan sebagainya kita rasakan bahawa apa yang diajarkan itu sangat ideal, dan inilah kebenaran, dan memasang impian agar kesempurnaan dikecapi untuk mencapainya. Kerana waktu itu masih belum mampu menongkah arus badai, tetapi mempersiapkan diri.

KEDUA adalah, KEBENARAN itu dilihat sebagai sesuatu yang KABUR dan SAMAR. Bukanlah di sini bermaksud kebenaran itu hilang atau tiada cuma, terselindung atau dikaburi dengan berbagai argumentasi. Bila kita masuk universiti, atau ke peringkat pengajian yang lebih tinggi kita dapati terlalu banyak penghujahan, argumentasi, yang sangat sengit sehingga kita pun sukar untuk menapis (tanqih) dan menilai (tarjih) manakah yang benar. Itu belum lagi ditambah rencam oleh mudallis (gangguan jargon) yang mengacau-bilau kefahaman. Ia semacam semua orang adalah BENAR. Saya BENAR. Dia BENAR. SEMUA ORANG benar. KEBENARAN itu RELATIF.

Kemudian, datang pula KETIGA, iaitu fasa di mana dirasakan bahawa KEBENARAN itu BEBAN, SIKSA dan AZAB. Maksudnya di sini adalah kebenaran itu tampak, namun ianya menjadi beban kepada hidup bila mana ditegakkan. Kita mengetahui sesuatu itu benar, namun acapkali kebenaran ditegakkan, fulan itu akan menerima tekanan besar dalam hidup. Lihat sahaja seperti yang berlaku di Gaza. Sesiapa yang mengatakan kebenaran, iaitu menyatakan 'yang dikatakan negara itu', pastinya akan dipulau, ditekan dan dikenakan seribu satu ancaman. KEBENARAN=BEBANAN. Mungkin kerana inilah tidak ramai orang sanggup untuk berjuang, menegakkan kebenaran. Dan mungkin ini jugalah, apa yang dihadapi oleh ulama-ulama terdahulu yang sanggup bertarung nyawa demi menegakkan yang haq.

Apapun, sebagai Muslim, kita dianjurkan senantiasa berdoa agar Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita hinggalah ke akhirnya. Di zaman pasca-moden ini atau mungkin ada istilah lain yang lebih tepat dari itu (untuk gambarkan corak pemikiran kini) kebenaran itu makin kabur, dan yang pastinya inilah dikatakan sebagai akhir zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Persoalan Tentang Kematian: Kematian yang dilupakan

  KEMATIAN YANG DILUPAKAN Saya mempunyai satu soalan yang telah lama terbuku di dalam hati. Atau mungkin saya tak ketahui kepada si...