KEMATIAN YANG DILUPAKAN
Saya mempunyai satu soalan yang telah lama terbuku di dalam hati. Atau mungkin saya tak ketahui kepada siapa yang saya boleh tanyakan dan dapat jawapan yang memuaskan. Namun, saya masih belum ketemu jawapan yang tuntas, atau jawapan yang dapat menteteramkan jiwa. Iaitu tentang soal kematian. Ya, benar sebagai Muslim kita mengetahui bahawa kematian itu adalah pasti. Hal ini jelas disebutkan di dalam al-Quran dan realitinya begitu. Akan tetapi saya punyai satu soalan iaitu apa makna kematian itu sendiri? Apa makna yang diberikan oleh kematian itu. Baik, saya fikir mungkin akan ada jawapan bagi persoalan ini. Walaubagaimanapun, soalan yang benar-benar saya terpanggil untuk tahu jawapannya adalah apa makna yang dapat dibawa dari kematian? Atau lebih spesifik begini:
Saya sangat suka membaca buku-buku sejarah, khususnya sejarah Islam (tarikh al-Islamiy). Banyak peristiwa-peristiwa yang sangat menakjubkan. Namun, TIDAK sedikit juga peristiwa-peristiwa atau kisah-kisah tragedi dan sedih MENIMPA UMAT ISLAM. Antaranya adalah berlakunya KEMATIAN/Matinya ramai insan. Hilangnya banyak nyawa. Sebagai contoh apa yang berlaku dahulu di Andalus, sewaktu Reconquista, umat Islam di Sicily, bahkan saya ada terbaca catatan, rentetan kejatuhan Andalus, hijrah ke Pulau Crete (saya yakin anda pun mungkin tak pernah dengar), dibantai pula sehingga ada yang disiat kulit dan dijadikan sasaran latihan memanah. Memang brutal dan tragis. Mutakhir ini pun, kita boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Gaza bagaimana banyak nyawa 40k+ yang telah terkorban. Kematian-kematian ini, orang lupakan, bahkan ADA YANG TIDAK DIKETAHUI PUN. Di sinilah timbulnya persoalan dalam diri saya, bagaimana Islam melihat kematian-kematian ini? Kematian yang dilupakan dan tidak diketahui? Kematian yang disebabkan tangan-tangan manusia (man-made calamity). Apa yang harus kita buat dengan peristiwa-peristiwa ini dan kematian-kematian ini? Apa makna yang dibawa pada kematian-kematian ini? Demi Allah, jika ada apa-apa peluang saya akan ajukan soalan ini kepada mana-mana ilmuan yang saya jumpa. Saya masih mencari makna. Apapun, kematian itu pastinya telah tercatat sebagai lembaran taqdir Allah swt. Itu pasti. Saya maklum dengan jawapan ini sebagai taqdir. Saya harap saya temui jawapan yang lebih daripada ungkapan ianya taqdir semata-mata. Saya yakin di sana adanya jawapan dalam Islam pahatkan hikmah padanya. Apapun, semoga ruh mereka-mereka yang terkorban dek kekejaman manusia mendapat pembelaan Allah swt di hari Akhirat dan ditempatkan mereka dalam kalangan para syuhada'.
Ya Hakim, Ya Muntaqim, Ya Ghafururrahim
Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, Allah Maha Memberi Pembalasan dan Allah Maha Pengampun